Wednesday, June 16, 2010 Misteri di sebalik trofi Piala Dunia

Trofi Piala Dunia itu menjelajah hampir seluruh dunia dalam usaha mempromosikan kejohanan itu dan ia akan membuat penampilan umum terakhir di Stadium Soccer City di Johannesburg yang boleh memuatkan 90,000 penonton bagi perlawanan pembukaan, Jumaat ini. Trofi itu kemudian akan dikunci dan disimpan dalam sebuah peti keselamatan hingga perlawanan akhir pada 11 Julai depan.

Pegawai keselamatan bersenjata menjaga trofi itu sepanjang promosi kerana Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) mahu memberikan gambaran bahawa trofi itu lebih berharga daripada nilai sebenarnya.

“Trofi ini unik, ia tidak ternilai,” kata Setiausaha Agung Fifa, Jerome Valcke. “Sesetengah berkata ia sama nilainya dengan lukisan Mona Lisa dan saya fikir ia benar.”

Namun, ramai percaya trofi Piala Dunia yang dibawa menjelajah ke seluruh dunia itu sebenarnya sekadar replika bersalut emas dan Fifa menjelaskan replika itu memang wujud.Malah, sepanjang 80 tahun sejarah Piala Dunia, trofi itu menjadi satu masalah.
Trofi asli berjaya disorokkan daripada Mussolini dan tentera bersekutu Nazi ketika Perang Dunia Kedua dengan diletakkan di bawah sebuah katil di Itali, tapi trofi itu kemudian dicuri di England sebelum dijumpai seekor anjing, hanya untuk dicuri semula di Brazil dan mungkin dicairkan bagi mendapat kandungan emasnya.

Cerita pelik ini bermula dengan pemahat Perancis, Abel Lafleur, yang mereka bentuk trofi asal untuk Fifa tepat pada masanya sebelum Piala Dunia pertama di Uruguay pada 1930. Trofi itu dinamakan sempena nama bekas Presiden Fifa, Jules Rimet.

Rekaan Lafleur adalah patung menakjubkan setinggi 14 inci yang memaparkan tuhan Greek, Nike yang menjulang trofi berbentuk oktagon di atas tapak berwarna biru.
Ia dibawa ke Montevideo menaiki kapal terbang penumpang Itali. Trofi itu dianugerahkan setiap empat tahun sekali kepada pasukan juara dan ia akan terus menjadi milik mana-mana pasukan yang menjuarainya tiga kali.

Uruguay memenangi kejohanan sulung itu diikuti Itali yang menang di gelanggang sendiri pada 1934 dan sekali lagi di Perancis pada 1938.
Peperangan yang tercetus pada 1939 menghadirkan kebimbangan tentera Nazi cuba untuk memilikinya.Masalah itu diselesaikan dengan cara pelik oleh seorang Naib Presiden Fifa dari Itali, Ottorino Barassi yang mengambil trofi itu dari sebuah bank di Rome dan menyimpannya dalam kotak kasut di bawah katilnya sepanjang tempoh perang.

Tiada ada yang mampu menyamai drama itu hingga 1966. Piala Dunia dilangsungkan di England pada musim panas itu dan trofi berkenaan dipamerkan di sebuah pameran setem di London pada Mac.Ia dijaga ketat pegawai keselamatan 24 jam sehari, tapi pencuri atau mungkin ramai pencuri berjaya memecah masuk ke bilik pameran itu dan mencurinya pada hari kedua ia dipamerkan.Pencarian pantas bermula diikuti dengan satu mesej diterima untuk mendapatkan wang tebusan sebelum pencuri piala itu ditangkap, tapi trofi tidak ditemui.

Bagaimanapun, seekor anjing kacukan mongrel berwarna hitam dan putih, bernama Pickles tampil sebagai penyelamat. Seminggu selepas kecurian itu, Pickles menjumpai sesuatu mencurigakan, dibungkus dengan surat khabar di bawah pokok renek di depan taman kediamannya di Norwood, selatan London. Dia membawa pemiliknya, David Corbett untuk melihat benda itu.“Saya fikir ia bom,” kata Corbett, mengimbau kenangan itu pada 2006, ulang tahun ke-40 penemuan Pickles. “Ada banyak tindakan IRA ketika itu. Malah apabila saya mula membuka kertas itu dan mendapati sebuah patung, tiada apa yang terlintas di fikiran saya.”Sebaik Scotland Yard mengesahkan trofi itu tulen, berita penemuannya disebarkan. Pickles pantas menjadi wira, gambarnya terpampang di surat khabar di seluruh dunia.Jadi, pada petang 30 Julai 1966, Ratu Elizabeth II menyerahkan trofi itu kepada ketua pasukan England, Bobby Moore di Stadium Wembley selepas England mengalahkan Jerman Barat pada perlawanan akhir.
Namun ada kisah di sebalik cerita itu.

Selepas kecurian itu dan sebelum trofi itu ditemui semula, Persatuan Bola Sepak England secara rahsia mengarahkan satu replika dibuat dan tidak memberitahu Fifa mengenai rancangannya itu.Seorang tukang emas, George Bird, membuat trofi replika itu dengan saduran gangsa.Jadi, selepas kemenangan England, polis yang bertindak dengan arahan, mengambil trofi asal daripada bilik persalinan England dan menggantikannya dengan replika itu dan selama empat tahun, ia diarak ke seluruh negara sebagai trofi tulen.

Pada 1970, Piala Dunia dilangsungkan di Mexico dan England terpaksa menyerahkan semula trofi itu supaya boleh diserahkan kepada juara berikutnya yang menyaksikan Brazil muncul juara. Sebagai juara tiga kali, Brazil dibenarkan untuk menyimpan trofi itu buat selama-lamanya.

Pada Disember 1983, pencuri memecah masuk ke ibu pejabat Persekutuan Bola Sepak Brazil di Rio de Janeiro dan mencuri trofi asal buatan Lafleur itu. Piala itu tidak dilihat langsung sejak itu dan dipercayai dicairkan.Namun 14 tahun kemudian, selepas Bird meninggal dunia, keluarganya melelong trofi ‘replika’ Piala Dunia. Fifa membayar AS$414,00 (RM1.37 juta) bagi mendapatkan trofi itu, hampir 10 kali ganda daripada harga lelongan.

Kenapa? Menurut berita Financial Times pada 2006, ‘Fifa sendiri tidak pasti sama ada trofi yang dilelong itu adalah piala emas sebenar atau sekadar replika gangsa.’
Trofi itu, sama ada tulen atau tidak, kini berada di Muzium Bola Sepak Kebangsaan di Preston, England.

Kini kita beralih kepada trofi Piala Dunia ‘baru’.Selepas trofi asal ditamatkan pada 1970, Fifa mengarahkan trofi baru dibuat bagi Piala Dunia 1974. Ia direka pereka Itali, Silvio Gazzaniga dan trofi emasnya itu juga kira-kira 14 inci tinggi dan berbentuk sebuah globe yang diletakkan di atas tangan.Tapi, Fifa yang mengambil iktibar daripada pengalaman lalu, mengubah peraturannya, jadi trofi baru itu tidak boleh dimiliki mana-mana pasukan secara kekal.Sebaliknya, setiap empat tahun, trofi baru Piala Dunia ‘asli’ akan dimiliki negara pemenang. Apabila trofi itu dikembalikan bagi kejohanan berikutnya, satu trofi replika akan diberikan kepada negara pemenang itu untuk disimpan.Bagaimanapun, amalan itu turut mencetuskan misteri.

Sejak 1974, sembilan pasukan dari lima negara memenangi Piala Dunia. Nelson Mandela juga dianugerahkan trofi replika Piala Dunia, Jadi, jelas sekurang-kurangnya ada 10 salinan asal trofi yang diperbuat oleh Gazzaniga.
Jadi, sebenarnya ada berapa banyak trofi itu? Fifa tidak mendedahkannya.
Digg it StumbleUpon del.icio.us

0 comments:

Post a Comment